Tuesday 20 December 2011

ISU HANGAT MELANDA PENIAGA KEK LAPIS

Isu Kek Lapis Jejaskan Peniaga



KUCHING – Isu penggunaan Golden Churn Creamy Butter dalam pembuatan kek lapis Sarawak terus menghantui para pengusaha dan peniaga produk makanan tersebut.
Terbaru seorang pengedar kek lapis Sarawak di Selangor didakwa diugut oleh seorang pelanggan yang menyatakan bahawa kek lapis Sarawak adalah kek babi dan sesiapa menjual akan dipenjarakan.
Persepsi negatif yang berterusan terhadap produk keluaran tersebut dikalangan pelanggan dikuatiri bakal menyebabkan ramai ramai pengusaha dan peniaga kek lapis Sarawak bakal `gulung tikar’.
Khuatir dengan perkembangan tersebut, Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS) hari ini bertemu dengan Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah bagi menyuarakan masalah yang dihadapi itu.
Presiden PPKLS, Rabiah Amit berkata, meskipun pihaknya telah memberi jaminan tidak menggunakan ‘Golden Churn Creamy Butter’ tetapi pelanggan masih mempunyai persepsi negatif terhadap produk keluaran mereka.
“Ada peniaga sanggup menyamak peralatan membuat kek lapis mereka bagi mengembalikan keyakinan pelanggan namun masih gagal menyakinkan pelanggan Islam.
“Semalam seorang pengedar kek lapis Sarawak di Selangor memberitahu diugut seorang pelanggan yang menyatakan bahawa kek lapis Sarawak adalah kek babi dan sesiapa menjualnya akan dipenjara,” katanya di sini hari ini.
Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) sebelum ini mengesahkan bahawa ‘Golden Churn Creamy Butter’ mengandungi DNA babi.
Rabiah seterusnya memberitahu, banyak tempahan yang diterima para pengusaha dan peniaga sejak awal bulan Ramadan telah dibatalkan akibat persepsi negatif terhadap kek lapis Sarawak.
Sementara itu, Fatimah mencadangkan pengusaha-pengusaha kek lapis Sarawak mempamerkan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat kek lapis di depan kedai mereka sebagai langkah jangka pendek menepis persepsi negatif pelanggan.
Menurutnya, pengusaha kek lapis Sarawak yang masih belum mendapat pensijilan halal daripada JAIS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif mendapatkan pensijilan tersebut.

No comments:

Post a Comment